Iftar di Arabella Event Hall bersama Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)

Pada 26 Mac 2025 bersamaan 25 Ramadan 1446H, Arabella Event Hall yang dimiliki oleh Koperasi Kakitangan LPPKN (M) Berhad telah menjadi saksi kemeriahan Majlis Berbuka Puasa. Majlis ini diadakan bagi meraikan bulan mulia Ramadan serta mengeratkan silaturrahim antara ahli lembaga koperasi, pihak pengurusan, dan rakan strategik koperasi.

Turut memeriahkan majlis, seramai 10 orang wakil pegawai dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersama ahli keluarga masing-masing hadir sebagai tetamu kehormat. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan berterusan SKM terhadap pembangunan dan kejayaan koperasi.

Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas Ramadan yang menyentuh hati sebelum waktu berbuka, diikuti dengan jamuan berbuka puasa yang disediakan dalam suasana yang penuh mesra dan harmoni. Para tetamu turut berpeluang beramah mesra dalam suasana santai sambil menikmati hidangan tradisional yang disediakan.

Majlis ini bukan sahaja menjadi platform mempererat hubungan sesama ahli dan agensi berkaitan, malah mengukuhkan semangat kerjasama demi kecemerlangan koperasi pada masa hadapan.

Penganjuran majlis seumpama ini di Arabella Event Hall diharap dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan, dalam usaha membina komuniti koperasi yang lebih kuat dan berdaya saing.